Budaya Integrasi Peradaban
Budaya mempunyai definisi yang berbeza-beza. Dalam pengertian yang luas, budaya bermaksud pancaran daripada budi dan daya. Menurut antropologi British, Edward B.Tylor, kebudayaan merupakan keseluruhan yang kompleks, yang terkandung di dalamnya pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, hukum, adat istiadat, dan kemampuan lain yang membentuk masyarakat.
Kebudayaan akan mempengaruhi pengetahuan yang meliputi sistem idea yang terdapat dalam fikiran seseorang individu, sehingga membentuk sesuatu yang bersifat abstrak. Selain itu, dalam konteks yang lain, budaya terjadi disebabkan adanya “kesenian” sejarah zaman ke zaman
Kebudayaan dan kesusasteraan laksana perbendaharaan tersembunyi dalam peradaban sesuatu bangsa dan umat manusia yang mencitrakan cernaan kemajuan minda dan tahap pemikiran mereka. Kebudayaan dan manusia atau masyarakatnya tidak boleh dipisahkan kerana tanpa masyarakat, tidak akan ada budaya. Di Malaysia, matlamat utama pembinaan kebudayaan kebangsaan ialah perpaduan bangsa dan negara, selain pembinaan keperibadian kebangsaan atau jati diri dan keseimbangan pembangunan sosioekonomi dengan aspek kerohanian dan kemanusiaan.
Keterpinggiran kebudayaan dan kesusasteraan – dua khazanah yang merupakan asas pembangunan sesebuah peradaban kian terasa. Mungkin kerana kefahaman sempit konsepnya masih wujud atau sikap semula jadi manusia yang tidak mahu mengukuhkan tradisi keilmuan dan pemikiran.
Menurut Tokoh Budayawan, Dato' A. Aziz Deraman, “Kita sedang berhadapan dengan krisis keyakinan dan terkikisnya kekuatan jati diri terhadap tradisi kebudayaan yang besar yang kita miliki dan betapa banyaknya pedoman pembinaan modal insan di dalam menjadi terbiar. Di Malaysia, gagasan 1Malaysia menuntut perspektif kebudayaan secara menyeluruh.”
Kebudayaan yang hidup memberikan ruang dan peluang untuk individunya mengucapkan imaginasi dan kreativitinya baik melalui tulisan, ukiran, suara, gerak badan, atau cara pengungkapan yang lain. Hal ini sebahagian daripada kebebasan demokratik dalam masyarakat yang sivil. Untuk kebudayaan menjadi asas tamadun dan pembangunan bangsa, bukan sahaja kebebasan yang wajar perlu diberikan bagi pengucapan kesenian dan intelektual, malah usaha memperkasa atau memperdaya (empowerment) dirancang supaya bakat-bakat di dalam masyarakat mudah melahirkan ciptaan, inovasi dan eksperimen bagi dinikmati oleh orang.
Kembali kepada isu perkauman dan kedamaian hidup antara pelbagai kaum serta keturunan di tanah air yang kita sayangi ini, penulis berasa terpanggil meneruskan penulisan selepas terdiam selama seminggu manfaatkan cuti Tahun Baru Cina. Penulis lebih cenderung menyebut kedamaian, harmoni dan kerjasama (collaboration) antara penduduk.
Kembali kepada isu perkauman dan kedamaian hidup antara pelbagai kaum serta keturunan di tanah air yang kita sayangi ini, penulis berasa terpanggil meneruskan penulisan selepas terdiam selama seminggu manfaatkan cuti Tahun Baru Cina. Penulis lebih cenderung menyebut kedamaian, harmoni dan kerjasama (collaboration) antara penduduk.
Kebudayaan, falsafah dan pemikiran merupakan salah satu aspek yang penting dan di situ terletaknya kedudukan bahasa dan sastera – alat pembinaan tamadun atau peradaban. Peradaban sesuatu bangsa tidak boleh dibina melalui bahasa asing kerana itulah jalan pilihan yang sangat lemah. Bahasa asing bukan segala-galanya untuk pengisian peradaban sendiri. Kalau bahasa lemah, segala ilmu ikut lemah dan apabila ilmu lemah, peradaban bangsa akan ikut menjadi lemah.
Upaya perlu digerakkan ke arah pemasyarakatan dan pembudayaan yang lebih berkesan. Semua sektor, pihak dan lapisan masyarakat perlu dihayati. Kita ada agenda membina bangsa khususnya membentuk generasi muda yang mempunyai nilai-nilai budaya yang tinggi sebagai teras ke arah melahirkan modal insan cemerlang. Sekali gus peradaban bangsa.
Dalam masyarakat keturunan Cina, ada suku-suku Hakka, Hailam, Kantonis, dan sebagainya, manakala dalam masyarakat India ada pula Tamil, Jaffna, dan jangan lupa ramai keturunan Pakistan, Sikh, Bangladesh. Boleh dikatakan di bumi Malaysia ini merumahkan aneka warna kelompok dan keturunan manusia. Setiap kelompok memiliki dialek, adat kebiasaan, nilai-nilai dan kepercayaan agama yang tersendiri (ada Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Sikhism, dan animisme ).
Kita telah hidup sebelah menyebelah , berjauhan atau bersentuhan, dan pada umunya dalam aman dan harmoni baik di daerah kediaman, mahupun dalam institusi-institusi awam dan swasta (sekolah, pejabat, syarikat, dan persatuan). Kedamaian dan keharmonian ini yang harus dikekalkan, dan dari waktu ke waktu dimantapkan dan dieratkan. Ini yang realistik , praktikal dan boleh dicapai.
Dalam masing-masing bangsa juga ada kumpulan-kumpulan mempunyai keutamaan terhadap falsafah, ideologi, aliran, fahaman, dan rukun tertentu yang berbeza daripada anggota masyarakat sebangsanya. Latar belakang kemasyarakatan, kepercayaan, dan intelektual yang berbeza ini, diperkuatkan pula dalam beberapa hal oleh jarak atau sempadan alam seperti antara Sarawak dan Sabah, dan Timur Malaysia dengan Semenanjung Malaysia, maka semakin beragam dan pelbagailah nilai-nilai, unsur-unsur dan amalan sosial-budaya di negara persekutuan ini.
Kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, yang menyifatkan sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2011 di Bandar raya Miri adalah yang terbaik pernah dianjurkan, dalam akhbar ini pada Isnin lalu memperlihatkan kepada kita akan kepentingan harmoni dalam kepelbagaian kaum. Malah Perdana Menteri, Datuk Patinggi Najib Tun Razak, sendiri sangat berpuas hati dengan sambutan kali ini dan menganggap ianya sesuatu yang luar biasa yang diberikan.
Sambutan yang julung kali diadakan di luar Semenanjung itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, dan BERNAMA melaporkan majlis tersebut telah dihadiri lebih 20,000 orang pengunjung! Dengan bertemakan “Jalinan Mesra 1Malaysia”, sambutan itu menekankan kepada aspek sentuhan dan ramah mesra pemimpin bersama rakyat tempatan dengan penglibatan menyeluruh masyarakat pelbagai kaum selaras dengan gagasan 1Malaysia.
Tahniah diucapkan kepada warga kerja di Bandar raya Miri kerana telah berjaya membuktikan perancangan kerja yang dilakukan adalah yang terbaik. Menyebut bahawa Sarawak model 1Malaysia, tidak semudah merancang program yang mana buminya di diami lebih 27 suku kaum dan etnik. Satu-satunya negeri yang unik, juga boleh dikatakan di dunia ialah Sarawak, dengan kepelbagaian masyarakatnya dan budayanya.
Hidup dalam kepelbagaian ini, dan situasi yang bernama perpaduan itu adalah satu konsep yang bertamadun. Ini fakta kehidupan yang harus kita hadapi dengan objektif dan rasional, dan jangan dikelirukan oleh retorik politik yang tidak berdiri tegak di atas muka bumi yang nyata.
Kalau kita berani menghadapi kenyataan itu, selanjutnya kita harus dengan fikiran yang jelas memahami masalah-masalah dan cabarannya bagi memupuk kehidupan yang sivil, adil, berakal budi dan harmoni. Kita harus sedar dan insaf akan sejarah masa lalu, dan memeta kehidupan bernegara masa depan. Dialog dan perbincangan ini harus terbuka kepada rakyat yang bertanggungjawab, dan bukan diarah , dipaksa, di akta dan dipertunangkan sebagai jalan pintas ke depan.
