Saturday, February 12, 2011

Budaya Integrasi Peradaban

Budaya mempunyai definisi yang berbeza-beza. Dalam pengertian yang luas, budaya bermaksud pancaran daripada budi dan daya. Menurut antropologi British, Edward B.Tylor, kebudayaan merupakan keseluruhan yang kompleks, yang terkandung di dalamnya pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, hukum, adat istiadat, dan kemampuan lain yang membentuk masyarakat.
          Kebudayaan akan mempengaruhi pengetahuan yang meliputi sistem idea yang terdapat dalam fikiran seseorang individu, sehingga membentuk sesuatu yang bersifat abstrak. Selain itu, dalam konteks yang lain, budaya terjadi disebabkan adanya “kesenian” sejarah zaman ke zaman
          Kebudayaan dan kesusasteraan laksana perbendaharaan tersembunyi dalam peradaban sesuatu bangsa dan umat manusia yang mencitrakan cernaan kemajuan minda dan tahap pemikiran mereka. Kebudayaan dan manusia atau masyarakatnya tidak boleh dipisahkan kerana tanpa masyarakat, tidak akan ada budaya. Di Malaysia, matlamat utama pembinaan kebudayaan kebangsaan ialah perpaduan bangsa dan negara, selain pembinaan keperibadian kebangsaan atau jati diri dan keseimbangan pembangunan sosioekonomi dengan aspek kerohanian dan kemanusiaan.
          Keterpinggiran kebudayaan dan kesusasteraan – dua khazanah yang merupakan asas pembangunan sesebuah peradaban kian terasa. Mungkin kerana kefahaman sempit konsepnya masih wujud atau sikap semula jadi manusia yang tidak mahu mengukuhkan tradisi keilmuan dan pemikiran.
          Menurut Tokoh Budayawan, Dato' A. Aziz Deraman,  “Kita sedang berhadapan dengan krisis keyakinan dan terkikisnya kekuatan jati diri terhadap tradisi kebudayaan yang besar yang kita miliki dan betapa banyaknya pedoman pembinaan modal insan di dalam menjadi terbiar. Di Malaysia, gagasan 1Malaysia menuntut perspektif kebudayaan secara menyeluruh.”
          Kebudayaan yang hidup memberikan ruang dan peluang untuk individunya mengucapkan imaginasi dan kreativitinya baik melalui tulisan, ukiran, suara, gerak badan, atau cara pengungkapan yang lain. Hal ini sebahagian daripada kebebasan demokratik dalam masyarakat yang sivil. Untuk kebudayaan menjadi asas tamadun dan pembangunan bangsa, bukan sahaja kebebasan yang wajar perlu diberikan bagi pengucapan kesenian dan intelektual, malah usaha memperkasa atau memperdaya (empowerment) dirancang supaya bakat-bakat di dalam masyarakat mudah melahirkan ciptaan, inovasi dan eksperimen bagi dinikmati oleh orang.
          Kembali kepada isu perkauman dan kedamaian hidup antara pelbagai kaum serta keturunan di tanah air yang kita sayangi ini, penulis berasa terpanggil meneruskan penulisan selepas terdiam selama seminggu manfaatkan cuti Tahun Baru Cina. Penulis lebih cenderung menyebut kedamaian, harmoni dan kerjasama (collaboration) antara penduduk.
          Kebudayaan, falsafah dan pemikiran merupakan salah satu aspek yang penting dan di situ terletaknya kedudukan bahasa dan sastera – alat pembinaan tamadun atau peradaban. Peradaban sesuatu bangsa tidak boleh dibina melalui bahasa asing kerana itulah jalan pilihan yang sangat lemah. Bahasa asing bukan segala-galanya untuk pengisian peradaban sendiri. Kalau bahasa lemah, segala ilmu ikut lemah dan apabila ilmu lemah, peradaban bangsa akan ikut menjadi lemah.
          Upaya perlu digerakkan ke arah pemasyarakatan dan pembudayaan yang lebih berkesan. Semua sektor, pihak dan lapisan masyarakat perlu dihayati. Kita ada agenda membina bangsa khususnya membentuk generasi muda yang mempunyai nilai-nilai budaya yang tinggi sebagai teras ke arah melahirkan modal insan cemerlang. Sekali gus peradaban bangsa.
          Dalam masyarakat keturunan Cina, ada suku-suku Hakka, Hailam, Kantonis, dan sebagainya, manakala dalam masyarakat India ada pula Tamil, Jaffna, dan jangan lupa ramai keturunan Pakistan, Sikh, Bangladesh. Boleh dikatakan di  bumi Malaysia ini merumahkan aneka warna kelompok dan keturunan manusia. Setiap kelompok memiliki dialek, adat kebiasaan, nilai-nilai dan kepercayaan agama yang tersendiri (ada Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Sikhism, dan animisme ).
          Kita telah hidup sebelah menyebelah , berjauhan atau bersentuhan, dan pada umunya dalam aman dan harmoni baik di daerah kediaman, mahupun dalam institusi-institusi awam dan swasta (sekolah, pejabat, syarikat, dan persatuan). Kedamaian dan keharmonian ini yang harus dikekalkan, dan dari waktu ke waktu dimantapkan dan dieratkan. Ini yang realistik , praktikal dan boleh dicapai.
          Dalam masing-masing bangsa juga ada kumpulan-kumpulan mempunyai keutamaan terhadap falsafah, ideologi, aliran, fahaman, dan rukun tertentu yang berbeza daripada anggota masyarakat sebangsanya. Latar belakang kemasyarakatan, kepercayaan, dan intelektual yang berbeza ini, diperkuatkan pula dalam beberapa hal oleh jarak atau sempadan alam seperti antara Sarawak dan Sabah, dan Timur Malaysia dengan Semenanjung Malaysia, maka semakin beragam dan pelbagailah nilai-nilai, unsur-unsur dan amalan sosial-budaya di negara persekutuan ini.
          Kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, yang menyifatkan sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2011 di Bandar raya Miri adalah yang terbaik pernah dianjurkan, dalam akhbar ini pada Isnin lalu memperlihatkan kepada kita akan kepentingan harmoni dalam kepelbagaian kaum. Malah Perdana Menteri, Datuk Patinggi Najib Tun Razak, sendiri sangat berpuas hati dengan sambutan kali ini dan menganggap ianya sesuatu yang luar biasa yang diberikan.
          Sambutan yang julung kali diadakan di luar Semenanjung itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, dan BERNAMA melaporkan majlis tersebut telah dihadiri lebih 20,000 orang pengunjung! Dengan bertemakan “Jalinan Mesra 1Malaysia”, sambutan itu menekankan kepada aspek sentuhan dan ramah mesra pemimpin bersama rakyat tempatan dengan penglibatan menyeluruh masyarakat pelbagai kaum selaras dengan gagasan 1Malaysia. 
          Tahniah diucapkan kepada warga kerja di Bandar raya Miri kerana telah berjaya membuktikan perancangan kerja yang dilakukan adalah yang terbaik. Menyebut bahawa Sarawak model 1Malaysia, tidak semudah merancang program yang mana buminya di diami lebih 27 suku kaum dan etnik. Satu-satunya negeri yang unik, juga boleh dikatakan di dunia ialah Sarawak, dengan kepelbagaian masyarakatnya dan budayanya.   
          Hidup dalam kepelbagaian ini, dan situasi yang bernama perpaduan itu adalah satu konsep yang bertamadun. Ini fakta kehidupan yang harus kita hadapi dengan objektif dan rasional, dan jangan dikelirukan oleh retorik politik yang tidak berdiri tegak di atas muka bumi yang nyata.
          Kalau kita berani menghadapi kenyataan itu, selanjutnya kita harus dengan fikiran yang jelas memahami masalah-masalah dan cabarannya bagi memupuk kehidupan yang sivil, adil, berakal budi dan harmoni. Kita harus sedar dan insaf akan sejarah masa lalu, dan memeta kehidupan bernegara masa depan. Dialog dan perbincangan ini harus terbuka kepada rakyat yang bertanggungjawab, dan bukan diarah , dipaksa, di akta dan dipertunangkan sebagai jalan pintas ke depan.   

Sunday, February 6, 2011

Sastera dan Kehidupan

Apabila kita memperkatakan kesusasteraan, hal itu tidak dapat dipisahkan daripada manusia dan masyarakat. Berertinya sastera kerana adanya hubungan ini. Erti kesusasteraan kepada kehidupan manusia dilihat daripada dua pandangan, iaitu pandangan yang lama dan yang baharu, sesuai dengan hakikat sastera itu sendiri yang berkembang dari segi bentuk, jenis, dan fungsinya. Sastera juga berkembang mengikut perubahan zaman dan tuntutannya dan keadaan ini memberikan kesan terhadap erti sastera kepada kehidupan manusia.
          Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu mula diperkenalkan pada tahun 1957. Matlamatnya untuk membolehkan pelajar atau rakyat Malaysia khususnya menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta akan tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai.
          Dalam masyarakat yang berasaskan sains dan teknologi seperti di Malaysia, kehadiran sastera sangat bererti. Tanpa sastera, masyarakat maju kehilangan satu unsur penting kehidupannya. Hakikat ini ditegaskan oleh John Naisbitt (1999) yang mengatakan bahawa ada teknologi (high tech) yang memabukkan manusia kerana mencengkam semangat manusia dan meningkatkan pencarian manusia tentang makna atau kepastian. Hasilnya, manusia berada dalam keadaan yang kompleks dan sering pula terperangkap dengan hubungan yang bersifat paradoksikal antara teknologi dengan usaha mencari makna.
          Sehubungan dengan itu, Naisbitt menyarankan manusia agar mencari teknologi yang memelihara kemanusiaan dan menolak teknologi yang merosakkan atau mengganggu kemanusiaan. Beliau menyarankan manusia melihat seni, cerita, drama, agama, alam semula jadi, dan masa sebagai aspek yang penting. Yang disebutkannya sebagai high touch itu perlu sangat kepada kehidupan manusia yang mementingkan sains dan teknologi. Di sini nyata sastera dapat dikelaskan sebagai high touch yang perlu dalam kehidupan masyarakat maju, seperti masyarakat di Malaysia. Bagaimanakah sastera dapat bererti sebagai high touch seperti yang dimaksudkan oleh Naisbitt? Sastera bukan sekadar bahan bacaan, tetapi lebih daripada itu.
          Shahnon Ahmad (1991) menegaskan bahawa sastera sebagai seismograf kehidupan, iaitu sastera bukan sahaja mencatatkan tetapi menganalisis perihal manusia dan masyarakat. Melalui sastera, banyak yang dapat dipelajari. Bagi Shahnon, sastera sangat diperlukan untuk melengkapkan nilai sesuatu masyarakat. Melalui sastera, masyarakat juga dapat mempelajari sejarahnya untuk memperbaik kehidupan mereka.
           
Aristotle meletakkan sastera lebih utama berbanding dengan sejarah kerana sastera dapat meramalkan masa hadapan masyarakat itu. Sastera mampu menembusi batas kemungkinan. Kemungkinan sastera melihat masa hadapan masyarakat ada hubungannya dengan keupayaan sastera untuk memberikan kebijaksanaan kepada pembacanya dengan membawa pembaca melihat dirinya dan persekitarannya.
            Menurut A. Samad Said (1998), melalui sastera ditemui unsur moral, keindahan, hati nurani, keadilan, ketakwaan, kebijaksanaan, dan tazkirah dan disampaikan secara sederhana, tetapi amat berkesan di jiwa.
          Usman Awang (1995) menulis bahawa sastera meliputi semua aspek kehidupan manusia secara meluas. Sastera ialah satu bentuk seni yang menggunakan bahasa. Melalui bahasa, keperihalan manusia dan kemanusiaan dibangunkan dengan penuh kesedaran tentang mesej dan keindahan. Laras bahasa sastera berbeza daripada laras bahasa harian dan sains. Pemilihan kata yang teliti, unsur bunyi yang dijaga rapi, dan irama yang tersusun indah membawa pembaca menikmati bahasa sastera. Mesej yang disampaikan dengan bahasa yang terpilih memberikan kekuatan keindahan kepada karya sastera dan menyuburkan penghayatan pembaca. Unsur denotasi dan konotasi membawa bahasa sastera ke lembah ketaksaan dan ketaksaan ini mengundang pentafsiran yang memberikan ruang kepada pembaca untuk membina imaginasi dan korelasi bagi mendapat satu mesej mental dan imej ini muncul bersama dengan rangsangan emosi. Ekoran itu, pembaca menikmati satu pengalaman estetik yang memberikan nikmat yang tersendiri. Melalui bahasa, sastera dikarang dan digubah menjadi seni yang indah. Melalui bahasa yang terpilih, sastera menggambarkan kehidupan manusia yang halus dan dipersembahkan secara yang paling indah.
          Sastera dapat menjadikan pembaca memahami kehidupan dengan lebih berfalsafah, iaitu dapat menerima keperihalan tentang manusia dan masyarakat yang kadangkala sukar untuk dimengertikan oleh fikiran rasional. Sememangnya kehidupan manusia ini penuh dengan kemungkinan yang tidak terduga dan sastera mampu menjelaskannya. Pengarang ialah manusia kreatif yang memiliki kemampuan berfikir, berimaginasi, dan berbahasa untuk menghasilkan karya, sama ada puisi, novel, cerpen, ataupun drama. Manusia dan masyarakatnya ialah bahan mentah yang sangat penting kepada pengarang. Keperihalan manusia dan masyarakat menjadi ilham kepada pengarang untuk berkarya. Maka, karya dilihat sebagai cermin masyarakat yang melalui proses pemilihan, pentafsiran, dan penilaian pengarangnya. Lantaran itu, karya sastera sangat menarik untuk dibaca bukan sangat hanya itu cermin kehidupan, tetapi juga sebagai pandangan alternatif kepada apa-apa yang kita lihat dan fikirkan tentang manusia dan masyarakatnya.
          Sastera membawa dunia baharu kepada pembaca dan dunia ini memperkaya pembaca dalam konteks emosi dan intelek. Sastera berupaya memberikan pendidikan kepada emosi dan intelek pembaca. Pendidikan yang mampu dibawa oleh sastera ialah satu pengertian lama tentang erti sastera, tetapi masih relevan erti sastera kepada kehidupan manusia. Masyarakat yang maju ialah masyarakat yang mampu berfikir tentang kehidupan dan sastera bererti kerana memiliki kemampuan ini.
             Shahnon Ahmad (1997: 25) menyatakan bahawa kesusasteraan berperanan sebagai satu cabang kesenian yang berteraskan cinta. Cinta di sini maksudnya cinta kepada keindahan dan cinta kepada kebenaran. Karya kesusasteraan dicipta oleh para sasterawan untuk membangunkan peribadi manusia supaya cinta akan keindahan dan cinta akan kebenaran. A. Samad Said (1997: 35) pula menyatakan bahawa peranan sastera sebagai rakman dan renungan interaksi insan seni dengan masyarakat dan masalah mereka. Setiap karya yang tercipta, sedikit sebanyak mendekatkan insan seni itu kepada sebahagian kecil cakerawala Tuhan yang luas, di samping menggarapkannya dengan sesam makhluk yang sama-sama mencari dan sama-sama menikmati dan sama-sama terhukum oleh getir-getar kehidupan. Oleh latar dan pengaruh itu, sastera mestilah berkhasiat untuk batiniah dan minda manusia. Manakala Usman Awang (1997: 41) menjelaskan bahawa peranan sastera meliputi semua aspek kehidupan manusia secara luas. Tiada sesiapapun yang boleh mendakwa bahawa dia mempunyai monopoli terhadap budaya Malaysia. Budaya bersama kita hanya akan lahir daripada penghidupan bersama semua rakyat bukan contoh angkuh daripada sebilangan kecil golongan kaya dan istimewa.

Labels: