Sunday, February 6, 2011

Sastera dan Kehidupan

Apabila kita memperkatakan kesusasteraan, hal itu tidak dapat dipisahkan daripada manusia dan masyarakat. Berertinya sastera kerana adanya hubungan ini. Erti kesusasteraan kepada kehidupan manusia dilihat daripada dua pandangan, iaitu pandangan yang lama dan yang baharu, sesuai dengan hakikat sastera itu sendiri yang berkembang dari segi bentuk, jenis, dan fungsinya. Sastera juga berkembang mengikut perubahan zaman dan tuntutannya dan keadaan ini memberikan kesan terhadap erti sastera kepada kehidupan manusia.
          Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu mula diperkenalkan pada tahun 1957. Matlamatnya untuk membolehkan pelajar atau rakyat Malaysia khususnya menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta akan tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai.
          Dalam masyarakat yang berasaskan sains dan teknologi seperti di Malaysia, kehadiran sastera sangat bererti. Tanpa sastera, masyarakat maju kehilangan satu unsur penting kehidupannya. Hakikat ini ditegaskan oleh John Naisbitt (1999) yang mengatakan bahawa ada teknologi (high tech) yang memabukkan manusia kerana mencengkam semangat manusia dan meningkatkan pencarian manusia tentang makna atau kepastian. Hasilnya, manusia berada dalam keadaan yang kompleks dan sering pula terperangkap dengan hubungan yang bersifat paradoksikal antara teknologi dengan usaha mencari makna.
          Sehubungan dengan itu, Naisbitt menyarankan manusia agar mencari teknologi yang memelihara kemanusiaan dan menolak teknologi yang merosakkan atau mengganggu kemanusiaan. Beliau menyarankan manusia melihat seni, cerita, drama, agama, alam semula jadi, dan masa sebagai aspek yang penting. Yang disebutkannya sebagai high touch itu perlu sangat kepada kehidupan manusia yang mementingkan sains dan teknologi. Di sini nyata sastera dapat dikelaskan sebagai high touch yang perlu dalam kehidupan masyarakat maju, seperti masyarakat di Malaysia. Bagaimanakah sastera dapat bererti sebagai high touch seperti yang dimaksudkan oleh Naisbitt? Sastera bukan sekadar bahan bacaan, tetapi lebih daripada itu.
          Shahnon Ahmad (1991) menegaskan bahawa sastera sebagai seismograf kehidupan, iaitu sastera bukan sahaja mencatatkan tetapi menganalisis perihal manusia dan masyarakat. Melalui sastera, banyak yang dapat dipelajari. Bagi Shahnon, sastera sangat diperlukan untuk melengkapkan nilai sesuatu masyarakat. Melalui sastera, masyarakat juga dapat mempelajari sejarahnya untuk memperbaik kehidupan mereka.
           
Aristotle meletakkan sastera lebih utama berbanding dengan sejarah kerana sastera dapat meramalkan masa hadapan masyarakat itu. Sastera mampu menembusi batas kemungkinan. Kemungkinan sastera melihat masa hadapan masyarakat ada hubungannya dengan keupayaan sastera untuk memberikan kebijaksanaan kepada pembacanya dengan membawa pembaca melihat dirinya dan persekitarannya.
            Menurut A. Samad Said (1998), melalui sastera ditemui unsur moral, keindahan, hati nurani, keadilan, ketakwaan, kebijaksanaan, dan tazkirah dan disampaikan secara sederhana, tetapi amat berkesan di jiwa.
          Usman Awang (1995) menulis bahawa sastera meliputi semua aspek kehidupan manusia secara meluas. Sastera ialah satu bentuk seni yang menggunakan bahasa. Melalui bahasa, keperihalan manusia dan kemanusiaan dibangunkan dengan penuh kesedaran tentang mesej dan keindahan. Laras bahasa sastera berbeza daripada laras bahasa harian dan sains. Pemilihan kata yang teliti, unsur bunyi yang dijaga rapi, dan irama yang tersusun indah membawa pembaca menikmati bahasa sastera. Mesej yang disampaikan dengan bahasa yang terpilih memberikan kekuatan keindahan kepada karya sastera dan menyuburkan penghayatan pembaca. Unsur denotasi dan konotasi membawa bahasa sastera ke lembah ketaksaan dan ketaksaan ini mengundang pentafsiran yang memberikan ruang kepada pembaca untuk membina imaginasi dan korelasi bagi mendapat satu mesej mental dan imej ini muncul bersama dengan rangsangan emosi. Ekoran itu, pembaca menikmati satu pengalaman estetik yang memberikan nikmat yang tersendiri. Melalui bahasa, sastera dikarang dan digubah menjadi seni yang indah. Melalui bahasa yang terpilih, sastera menggambarkan kehidupan manusia yang halus dan dipersembahkan secara yang paling indah.
          Sastera dapat menjadikan pembaca memahami kehidupan dengan lebih berfalsafah, iaitu dapat menerima keperihalan tentang manusia dan masyarakat yang kadangkala sukar untuk dimengertikan oleh fikiran rasional. Sememangnya kehidupan manusia ini penuh dengan kemungkinan yang tidak terduga dan sastera mampu menjelaskannya. Pengarang ialah manusia kreatif yang memiliki kemampuan berfikir, berimaginasi, dan berbahasa untuk menghasilkan karya, sama ada puisi, novel, cerpen, ataupun drama. Manusia dan masyarakatnya ialah bahan mentah yang sangat penting kepada pengarang. Keperihalan manusia dan masyarakat menjadi ilham kepada pengarang untuk berkarya. Maka, karya dilihat sebagai cermin masyarakat yang melalui proses pemilihan, pentafsiran, dan penilaian pengarangnya. Lantaran itu, karya sastera sangat menarik untuk dibaca bukan sangat hanya itu cermin kehidupan, tetapi juga sebagai pandangan alternatif kepada apa-apa yang kita lihat dan fikirkan tentang manusia dan masyarakatnya.
          Sastera membawa dunia baharu kepada pembaca dan dunia ini memperkaya pembaca dalam konteks emosi dan intelek. Sastera berupaya memberikan pendidikan kepada emosi dan intelek pembaca. Pendidikan yang mampu dibawa oleh sastera ialah satu pengertian lama tentang erti sastera, tetapi masih relevan erti sastera kepada kehidupan manusia. Masyarakat yang maju ialah masyarakat yang mampu berfikir tentang kehidupan dan sastera bererti kerana memiliki kemampuan ini.
             Shahnon Ahmad (1997: 25) menyatakan bahawa kesusasteraan berperanan sebagai satu cabang kesenian yang berteraskan cinta. Cinta di sini maksudnya cinta kepada keindahan dan cinta kepada kebenaran. Karya kesusasteraan dicipta oleh para sasterawan untuk membangunkan peribadi manusia supaya cinta akan keindahan dan cinta akan kebenaran. A. Samad Said (1997: 35) pula menyatakan bahawa peranan sastera sebagai rakman dan renungan interaksi insan seni dengan masyarakat dan masalah mereka. Setiap karya yang tercipta, sedikit sebanyak mendekatkan insan seni itu kepada sebahagian kecil cakerawala Tuhan yang luas, di samping menggarapkannya dengan sesam makhluk yang sama-sama mencari dan sama-sama menikmati dan sama-sama terhukum oleh getir-getar kehidupan. Oleh latar dan pengaruh itu, sastera mestilah berkhasiat untuk batiniah dan minda manusia. Manakala Usman Awang (1997: 41) menjelaskan bahawa peranan sastera meliputi semua aspek kehidupan manusia secara luas. Tiada sesiapapun yang boleh mendakwa bahawa dia mempunyai monopoli terhadap budaya Malaysia. Budaya bersama kita hanya akan lahir daripada penghidupan bersama semua rakyat bukan contoh angkuh daripada sebilangan kecil golongan kaya dan istimewa.

Labels: